Tuesday 18 October 2011

41 Belia Muflis Setiap Hari???

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Seramai 41 belia Malaysia berumur lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, belia merupakan golongan utama menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang dewasa akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal.
“Antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit.
“Apabila lebih 30 peratus daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang, seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan.
“Ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran golongan muda berkaitan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program RINGGIT Pertama Saya di sini, hari ini.


Yang terpampang di atas adalah petikan daripada berita yang tersiar di beberapa buah akhbar mutakhir ini.


Untuk meletakkan kesalahan bulat-bulat kepada belia berkenaan, dan melabelkan mereka sebagai kurang kesedaran dalam pengurusan kewangan, adalah sesuatu yang sangat mudah. Namun tidaklah pula untuk sesiapa pun memahami betapa sukarnya mereka hendak menjadi pengurus kewangan yang baik dalam suasana kehidupan seperti sekarang. Hanya bahu yang memikul dapat merasa perit dan payahnya.

Kita lupakanlah hakikat bahawa setiap bayi yang dilahirkan di negara ini telah pun sama-sama memikul beban hutang negara. Ia sesuatu yang kompleks. Biar kita bercakap secara ringkas tentang sesuatu yang lebih mudah difahami.

Mungkin tidak semua, tetapi sebahagian besar belia kita dibiasakan dengan hutang seawal usia remaja lagi. Sebaik kaki melangkah masuk ke IPT, tak kiralah yang ada ‘A’ atau ada ‘S’, ‘jerat’ PTPN sudah pun menanti. Jerat ini lazimnya akan terus terkalung di leher sehinggalah mereka menamatkan pengajian dan memasuki alam pekerjaan.

Selepas bekerja bebannya mula datang. Budi emak ayah harus dibalas. Sedikit sebanyak harus dihulur juga setiap bulan. Kenderaan perlu dibeli. Dan bila ada kenderaan, ‘kos saraannya’ lebih banyak daripada yang diberi kepada ibu dan bapa.

Yang beringat, mungkin mahu mempersiapkan rumah sebelum menambah ‘tangga’nya. Tetapi bukan semuanya berani mengalungkan diri dengan jerat baru (pinjaman perumahan). Ada yang memasang ‘tangga’ dahulu, kemudian baru berfikir tentang rumahnya.

Namun, biar yang mana satu pun dulu, ia tetap membebankan. Malah bagi mereka yang lelaki, kos untuk memiliki seorang isteri sekarang ini jauh lebih tinggi daripada deposit pembelian seunit rumah. Yang lebih memberatkan lagi, rumah dan isteri memang saling memerlukan. Dah ada rumah, perlu ada isteri. Begitu jugalah kalau dah ada isteri.

Semua itu duit. Dan semua itu selalunya perlu dilakukan dalam usia sebelum 30 tahun. Dengan perkataan lain, mereka hanya mempunyai masa enam atau tujuh tahun sahaja untuk mempersiapkan diri. Bagaimanakah mereka mampu melakukannya? Mahu atau tidak mereka terpaksa meminjam. Tak memadai dengan itu, mereka gunakan kad kredit untuk ‘pusing-pusing’ duit. Akhirnya mereka sendiri jadi pening sebab terlalu banyak ‘pusing’.

Ini realiti yang harus kita hadapi. Belia kita tidak mempunyai ruang bernafas dengan selesa. Mereka dipaksa oleh keadaan untuk bekerja bagi kepentingan pihak lain – kadang-kadang sehinggalah mereka menjadi dewasa dan tua bangka. Kita boleh membebel. Kita boleh menganjurkan mereka supaya berjimat cermat. Namun sejimat mana pun, mereka jarang terlepas daripada jerat dan perangkap yang terpasang itu.

Lagi pun seruan supaya berjimat cermat nampaknya sudah semakin tidak relevan. Bagaimanakah anda mahu meminta anak-anak muda itu berhemat berbelanja sedangkan dalam masa yang sama ramai pemimpin politik mahupun pemimpin belia bersenang-lenang dengan segala kemewahan?? Jawapan itu ada pada diri saudara/saudari masing-masing. Renungkan-renungkan dan tepuk dada tanya selera.

JAMUAN RAYA 4B NEGERI PP MERIAH!!

 Ketupat
 Lemang turut disediakan

Pengerusi 4B PP, Sdr Roslan Rahim menyampaikan ucapan
 
 Anak-anak muda sibuk bergotong royong menyediakan juadah
 Kanak-kanak tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama pemimpin belia
 Pemberian aiskrim percuma
 Perlantikan Ketua Penerangan 4B Malaysia yang baru turut berlangsung
 Masing-masing berebut aiskrim
Pemberian kerusi roda kepada yang memerlukan
 Pengarah Belia Negeri PP, En Abd Jalil beramah mesra bersama para belia yang hadir

Kehadiran Presiden 4B Malaysia memeriahkan lagi sambutan raya 4B Negeri P.Pinang
 Suasana meriah sepanjang majlis berlangsung

Menu paling mendapat sambutan, Ayam Piru Golek!
Jawatankuasa 4B Negeri PP sempat merakamkam kenangan

Kehadiran tetamu yang diluar jangkaan
Ketua Penerangan 4B Negeri PP, Sdr Hisham(kanan) bergambar bersama Ketua Penerangan 4B Malaysia yang baru