Kementerian
Belia dan Sukan (KBS) menggesa golongan belia negara ini supaya
mencontohi keberanian dan semangat patriotisme dua anggota polis pasukan
gerakan khas 69 Komando yang terkorban dalam pertempuran dengan
sekumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu,
Sabah semalam.
Menterinya,
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kedua-dua anggota polis tersebut
adalah wira negara yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk nyawa
mereka bagi mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat
Malaysia.
“Semangat
patriotisme, berani dan sedia berjuang hingga ke titisan darah yang
terakhir perlu dicontohi oleh seluruh rakyat Malaysia terutamanya dalam
kalangan belia negara.
“Pengorbanan
mereka seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada belia hari ini dan
beliau seorang wira belia dan wira negara,” katanya melalui satu
kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu
Ahmad Shabery meminta belia Malaysia tidak terpengaruh dengan anasir dan
perbuatan yang sia-sia dan yang hanya akan menghancurkan masa hadapan
diri, bangsa negara dan agama.
Dalam pada itu
beliau berharap keluarga kedua-dua mangsa bersabar dan redha menerima
ujian itu dan berdoa semoga roh mereka dicucuri dan dirahmati Allah dan
ditempatkan bersama-sama roh para syuhada dan orang-orang beriman.
Media semalam
melaporkan dua anggota polis terbabit terbunuh manakala tiga lagi cedera
dalam insiden tembakan di Kampung Tanduo, Lahad Datu membabitkan
kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina.
Kejadian itu
turut menyaksikan 12 penceroboh bersenjata yang merupakan sebahagian
daripada 180 penceroboh yang dikepung pasukan keselamatan Malaysia
terkorban.